nuffnang

Pages

Memaparkan catatan dengan label POLITIK. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label POLITIK. Papar semua catatan

Sabtu, 27 November 2010

ISLAM BUKAN MILIK MELAYU SEMATA-MATA ~ TOK GURU


Teks ucapan Majlis Penutup Kelantan International Business Forum

Firman Allah yang bermaksud: Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah dan bagi kaum kerabat (Rasulullah) dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya). (Surah Al-Hasyar: 7)

Alhamdulillah, kita panjatkan setinggi-tinggi pujian dan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah keizinanNya, kita dapat berkumpul di dalam forum yang diadakan sempena dengan expo cheng ho ini. Tahniah saya rakamkan kepada Jawatankuasa Penganjur Kelantan International Business Forum dan Ekspo Cheng Ho kerana telah berjaya menganjurkan program bertaraf antarabangsa seperti ini. Saya difahamkan bahawa program yang julung kali diadakan di Kelantan telah mendapat sambutan yang amat membanggakan terutama Ucaptama oleh Setiausaha Agong Asean, Tuan Yang Terutama Dr Surin Pitsuwan.

Kelantan International Business Forum yang diadakan sempena Ekpo Cheng Ho: Pesta Perdagangan Kelantan – China memfokuskan kepada usaha bersama untuk mengukuhkan jalinan dan rangkaian perniagaan serta inisiatif kerjasama di kalangan usahawan, ahli-ahli perniagaan dan pelbagai pihak di rantau Asia terutama negara-negara Asean.

Fokus utama seminar ini ialah bagi membincangkan peluang-peluang perniagaan yang boleh diterokai bersama di antara ahli-ahli perniagaan, pihak swasta dan pihak kerajaan antara negara-negara Asean dan China termasuk Kelantan.

Kehadiran sistem ekonomi Islam telah memberikan harapan baru bagi umat Islam di dalam usaha untuk membebaskan diri dari cengkaman ekonomi yang berasakan riba. Dengan terasasnya sistem perbankan Islam yang pertama di Malaysia pada tahun 1983, umat Islam di Malaysia boleh menarik nafas lega kerana telah mempunyai alternatif kepada sistem ekonomi mirip kapitalisme yang telah lama berakar di negara kita ini. Di Kelantan, kita telah menyahut usaha yang positif ini dengan mengarahkan semua simpanan wang kerajaan dipindahkan ke dalam perbankan Islam.

Sekalipun tindakan ini pada mulanya mendapat respon negatif dari banyak pihak, namun alhamdulillah, wang kerajaan dapat diselamatkan daripada terlibat dengan sistem berasakan riba yang boleh menjauhkan keberkatan dan mengundang kemurkaan daripada Allah SWT.Islam pada hakikatnya merupakan agama yang syumul. Undang-undang yang didraf oleh Allah SWT bukan hanya setakat berkuatkuasa di dalam masjid dan madrasah semata-mata namun ia dituntut untuk dilaksanakan dalam segenap aspek kehidupan.

Inilah pelan yang telah dibuat oleh Allah SWT ketika menciptakan manusia. Jika manusia sendiri sekiranya ingin membina rumah atau bangunan, terlebih dahulu akan membina pelannya, maka langsung tidak munasabah jika dikatakan bahawa penciptaan manusia sebagai khalifah di bumi ini tiada pelannya. Pelan untuk manusia itulah yang dinamakan Islam. Menerima Islam bererti menerima pelan yang ditentukan oleh Allah SWT, menolak Islam bererti menolak pelan Allah dan inilah yang dinamakan sebagai syirik.

Islam sangat berbeza dengan kapitalis. Semangat kapitalis ialaah menambahkan kekayaan kepada golongan yang sudah kaya dan meletakkan jurang yang besar di antara golongan kaya dan miskin. Islam pula melarang harta berlegar di kalangan orang-orang yang kaya semata-mata sebagaimana ayat yang saya bacakan di awal ucapan tadi. Justeru, Islam telah meletakkan garis panduannya yang tersendiri di dalam berekonomi.

Ini kerana Islam bukanlah agama yang datang untuk meletakkan manusia dalam dunia kerahiban sehingga melupakan agenda ekonomi. Islam sama sekali tidak boleh menerima apa yang dituntut oleh golongan sekular supaya meletakkan agama berasingan daripada sistem kehidupan. Allah SWT sendiri telah menceritakan sikap orang-orang Quraisy sebelum kedatangan Islam yang suka berniaga dan amalan ini tidak pernah dilarang oleh Islam.

Yang bermaksud: Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Mekah) (Iaitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman) dan pada musim panas (ke negeri Syam), Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini, Tuhan yang memberi mereka penghidupan, menyelamatkan mereka dari kelaparan dan mengamankan mereka dari ketakutan. (Surah Quraisy: 1-4)

Ini menunjukkan amalan perniagaan yang merupakan nadi kepada ekonomi tidak pernah dilarang oleh Islam, cuma diperintahkan agar jangan lupa untuk bersyukur kepada Allah SWT di atas nikmat yang dikurniakan. Hubungan di antara manusia dengan Allah SWT tidak boleh putus hanya kerana kesibukannya di dalam mencari kekuatan ekonomi.

Inilah yang ditegaskan pula oleh Allah SWT di dalam ayat yang lain yang bermaksud: Orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (Surah an-Nur: 37)

Jika ditinjau di dalam sejarah, perancangan dan aktiviti ekonomi telah berlaku dalam zaman Nabi Yusuf a.s yang menjadi Menteri Ekonomi pertama di Mesir. Baginda telah meletakkan asas Ilmu Ekonomi dengan membuat satu perancangan rapi bagi memastikan negara mempunyai bekalan yang mencukupi apabila menghadapi musim kemelesetan. Namun begitu kegiatan ekonomi pada awal Islam agak terbatas dengan kegiatan jual-beli sahaja di pasaran yang mudah.

Mulai abad kedua Hijrah bermulalah beberapa kajian mengenai kegiatan ekonomi secara khusus dan lahirlah tulisan-tulisan mengenai hukum riba, sistem harga, monopoli, percukaian, zakat, kewangan kerajaan dan sebagainya. Tulisan-tulisan ini membicarakan hukum hakam muamalat mengikut mazhab masing-masing.Dua tokoh yang sering disebut sebagai bapa Ekonomi Islam ialah Ibni Taymiyah (1262-1328 Masehi) dan Ibn Khaldun (1332-1406 Masehi). Ibn Taimiyah yang berpusat di Damsyik adalah terkenal dengan pandangannya mengenai harga setara, pasaran sempurna, kawalan harga, monopoli, penyorokan dan spekulasi.

Manakala Ibn Khaldun pula, di dalam kitabnya yang terkenal, iaitu Mukaddimah Ibn Khaldun, menyentuh banyak perkara ekonomi seperti nilai, buruh, sistem harga, hukum permintaan dan penawaran, penggunaan dan pengeluaran, wang, modal, kewangan negara, dll. Beliau yang berasal dari Hadramaut dan berpindah ke Andalus merupakan tokoh ekonomi dengan pemikiran ekonomi yang penting yang mendahului Adam Smith dengan jarak waktu 400 tahun.

Hari ini masyarakat umat Islam muka membuka mata semula terhadap kepentingan membuat pilihan yang baik untuk kepentingan ukhrawi mereka. Dari sudut ekonomi, masyarakat mula tidak asing dengan istilah-istilah di dalam fiqh mualamat seperti mudharabah, wadiah, musyarakah, murabahah dan ijarah. Perkembangan positif ini perlu dikekalkan momentumnya agar akhirnya nanti Islam diterima secara keseluruhannya tanpa syak wasangka. Saya optimis, akan sampai satu masa di mana sistem ekonomi Islam diterima sebagai sistem ekonomi global yang akan menolak sepenuhnya sistem ekonomi riba yang jelas sekali tidak adil dan menindas. Kata para hukama' :

Di dalam usaha untuk memberikan kefahaman Islam yang sebenar inilah, maka Kelantan menganjurkan expo Cheng Ho yang julung-julung kali diadakan di rantau ini. Cheng Ho selaku seorang muslim telah diberikan kepercyaan oleh maharaja cina untuk melakukan misi perdagangan ke seluruh dunia termasuklah ke Tanah Melayu sekitar 500 tahun yang lampau memberikan satu gambaran bahawa Islam bukanlah milik Melayu semata-mata tetapi milik semua bangsa.

Justeru, kerajaan Kelantan dengan dasar Membangun Bersama Islam melangkah ke depan melangkaui sempadan bangsa yang disemarakkan oleh golongan-golongan tertentu dengan mengadakan expo seperti ini. Alhamdulillah, di tengah-tengah seruan perkauman yang menebal di samping ditiup oleh semangat politik bangsa yang melampau, kita bangkit menerobos sempadan dengan meletakkan Islam sebagai dasar di dalam berpolitik dan bernegara. Harapan saya agar rakyat dapat membuka mata di dalam menilai kepimpinan yang mahu dipilih agar jangan lagi menjadikan agenda bangsa sebagai keutamaan kerana ia hanya akan menyemerakkan api permusuhan yang tidak berkesudahan.

Kalau memilih tempat mandi,

Pertama teluk kedua pantai,

Kalau memilih pemimpin negeri,

Pertama elok kedua pandai.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian. Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak urusetia di atas penganjuran forum seumpama ini. Terima kasih kerana sudi hadir ke Kelantan pada kali ini. Semoga kunjungan tuan-tuan ini bukanlah kali yang terakhir, Insya-allah. Semoga setiap amalan kita mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pengikut