nuffnang

Sabtu, 25 Disember 2010

AKU PENGIKUT SETIA SAIDINA HASSAN DAN SAIDINA HUSSIN

Tindakan JAIS Tidak Tepat

Oleh: Mohamed Hanipa Maidin

Hampir semua media cetak berbahasa melayu menyiarkan berita tentang serbuan JAIS ke atas markaz syiah dan menangkap lebih kurang 200 dikatakan pengikut syiah baru-baru ini.

Pelbagai tuduhan liar di lemparkan ke atas mereka yang ditangkap termasuklah tuduhan kononnya tarikan seks menjadi faktor utama pengikut syiah.

Dari kenyataan pengarah Jais yang dilaporkan di media massa nampaknya Jais sudah menghukum mereka yqng ditangkap tanpa mereka yang ditangkap diberi peluang membela diri. Mereka yang ditangkap digambarkan seolah-olah setaraf dengan pengikut ajaran sesat.

Bagi saya amat tidak adil untuk Jais menyamaratakan syiah dengan ajaran sesat. Ini kerana isu fahaman syiah mempunyai sejarah yang panjang. Ya,benar ada perbezaan teologi antara syiah dan sunni namun agak tersasar untuk Jais meletak kedudukan syiah setara dengan ajaran sesat.

Bagi saya Jais sepatutnya memilih jalan dialog atau hujah dengan pengikut syiah bukan meyerbu, tangkap dan aibkan mereka. Saya tidak nampak tindakan yang diambil ke atas pengikut syiah itu boleh dikategorikan 'islamic'. Mungkin juga dengan daya intelektual yang tidak begitu tinggi untuk berhadapan dengan pengganut mazhab syiah maka pengarah Jais yang kita tahu amat sinonim dengan Umno terpaksa menggunakan kuasa dan 'force' untuk berdepan dengan pengikut syiah. 

Saya boleh bayangkan jika pengarah Jais berdepan dengan mana mana ayatullah atau hujjahtul Islam syiah beliau bukan sahaja tidak mampu berhujah mungkin juga pengarah Jais selepas ini tidak berani lagi 'mengusik' syiah .

Dalam keadaan ulama sunni dan syiah berusaha keras mendekatkan kedua dua mazhab besar ini melalui 'taqrib al madzahib' tindakan Jais nampaknya makin menjauhkan kedua dua mazhab itu.



Oleh Penarik Beca.

Hampir 10 hari saya tak update blog ini. Tak ada posting baru. Bukan apa, saya kepenatan. Terpaksa saya akui, pemergian anak saya, kekasih hati saya, Muhammad Sadiq (2/1/1994 - 4/12/2010) ke pangkuan Allah s.w.t. yang sangat dia harapkan keampunan, belas kasihan dan kasih sayang-Nya, amat memenatkan saya. Penat kerana amat menderita. Terasa sungguh hati saya amat merana.

اللهم صل على محمد وآل محمد




Ya Allah
tiada bandingannya
betapa amat lemah dan amat tidak berdayanya
anak saya Muhammad Sadiq
berhadapan dengan ke'adilan-Mu
tolonglah, ya Allah, ya Ghafur, ya Rahim, ya 'Afuwwun-Karim
tolonglah ampuni anak saya
tolonglah kasihani kekasih hati saya, Muhammad Sadiq

Wahai Tuhan Yang Maha Berbelas Kasihan kepada hamba-hamba-Mu yang merayu-rayu
dengan hanya bermodalkan harapan
dengan hanya bersenjatakan tangisan
tolonglah maqbulkan doa yang setiap hari saya ratapkan
tolonglah, ya Allah
tolonglah ampuni anak saya
tolonglah kasihani kekasih hati saya, Muhammad Sadiq

SubahanaKa ya Allah
Ta'alaiTa ya Rahman
Ajirna minan-nar, ya Mujir!!

Tak cukup dengan kepenatan kerana amat merananya saya setelah perginya Muhammad Sadiq, penat pula berlari dan memanjat-manjat. Saya gemuk. Umur pula melebihi separuh abad. Bila terpaksa berlari ketakutan dan terpaksa memanjat-manjat pula dalam keadaan takut, terasa sungguh penatnya.

Anda mungkin membaca laporan Berita Harian 17/12/10 di bawah tajuk "Pukul badan guna rantai sucikan dosa" (lihat salinannya di bawah) tentang berpuluh Syi'ah 'Ali yang "melarikan diri dengan memanjat bumbung bangunan empat tingkat itu sambil melaungkan takbir sebaik menyedari markas itu diserbu 80 pegawai dan anggota Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)".

Tak habis lagi sampai saat ini kepenatan "melarikan diri dengan memanjat bumbung bangunan empat tingkat". Sadaqa Berita Harian! Betapa benarnya Berita Harian!

Bukan senang menjadi orang yang disesatkan dan dikafirkan oleh begitu ramai orang dari dahulu, kini dan di masa akan datang. Saya tahu saya disesatkan dan dikafirkan. Antara lain, saya baca edisi Bahasa Melayu buku Ihsan Ilahi Zahir dan saya baca edisi Bahasa Melayu (kulit kuning) buku tulisan tokoh Ikhwan Muslimnin, Sa'id Hawwa yang bertajuk "al-Khumainiyyah: Syuzuz fi al-‘Aqaid wa syuzuz fi al-Mawaqif" (Khomeinism: Pelik Dalam Akidah dan Pendirian). Banyak lagi buku lain seperti itu yang saya baca. Buku-buku itu diedarkan percuma.

Bukan senang juga menjadi orang dari puak yang disebut oleh Pengarah Jais, Datuk Muhammed Khusrin Munawi yang "jika dibiarkan berkembang boleh mengancam keselamatan negara".

Khusrin juga menyatakan orang seperti saya menyifatkan "darah pengikut fahaman lain adalah halal dan ia bermakna penganut Ahli Sunnah Wal Jamaah boleh dibunuh."

Anda boleh dengar sendiri kenyataan Khusrin yang dirakam oleh Harian Metro di sini termasuk kenyataan bahawa orang seperti saya mengajak orang lain menjadi Syi'ah 'Ali dengan mengumpan kahwin mut'ah, tidak mewajibkan haji, menjama'kan solat Subh, mendewa-dewakan Imam 'Ali 'a.s. dan ikut suka dialah kerana dia Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor.

Sadaqa Khusrin. Dia adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor. Tentu dia 'alim. Takkan pula si jahil murakkab dilantik sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor. Saya ulangi, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor.

Saya pula si jahil yang sedar bahawa saya jahil. Lebih dari itu, jutaan orang dari dulu sampai sekarang dan akan datang menyesat dan mengkafirkan saya. Takkan orang seperti saya yang disesat dan dikafirkan boleh menjawab Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor!

Apa saya nak jawab. Kedudukan saya lebih rendah dari kafir Kitabi. Lelaki Islam boleh mengahwini perempuan-perempuan Yahudi dan Kristian. Sah nikah mereka. Tetapi menurut Penasihat Agama Istana Negara, Datuk Dr Hassan Din al-Hafiz, "perkahwinan di antara umat Islam yang berpegang kepada ajaran ahli Sunnah Wal Jamaah dan pengikut Syiah yang boleh mengakibatkan perkahwinan tidak sah dan anak yang lahir daripada perkahwinan terbabit boleh dikategorikan sebagai anak zina atau anak tidak sah taraf".

Apa yang mampu saya lakukan hanyalah memohon kepada Allah agar saya dibawa bersemuka dengan Khusrin, Dr Hassan, Mufti Selangor Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid, Ihsan Ilahi, Sa'id Hawwa dan sesiapa sahaja yang mengkafirkan dan menyesatkan saya di hadapan-Nya di Hari Perhitungan nanti. Biarlah Allah yang membuat keputusan di antara kami. Setakat itu sahaja kemampuan saya.

Mereka 'alim. Tentu mereka berani bertanggungjawab dengan dakwaan mereka. Malah kerana 'alimnya mereka, tentulah mereka yakin apa yang mereka nyatakan itu adalah jihad yang besar. Saya pula jahat dan jahil. Allah Maha Mengetahui betapa takutnya saya kepada-Nya. Tetapi, apa daya saya dan apa lagi pilihan saya selain memohon seperti yang saya pohonkan itu.

رَبَّنَا افْتَحْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ قَوْمِنَا بِالْحَقِّ وَأَنتَ خَيْرُ الْفَاتِحِينَ (Al-A'raaf : 89)

Selepas di buru penguatkuasa Jais pada malam itu, sukar ditolak kemungkinan saya dan orang-orang seperti saya akan diburu lagi seperti binatang. Meskipun demikian, saya tidak sedikit pun merasa sedih.

Apa nak sedihnya? Apa salahnya saya diburu? Saya Syi'ah. Saya seperti binatang.

(Saya tak tulis sebelum ini, sebab saya takut mak saya yang sangat uzur akan merasa amat malu kerana menantunya seperti binatang, disesatkan dan dikafirkan. Saya juga takut kakak-kakak saya, kesemua adik-adik saya di kedua-dua belah pihak serta keluarga mereka merasa amat malu kerana saya seperti binatang, disesatkan dan dikafirkan. Tetapi oleh kerana muka saya sudah tersebar dalam YouTube, tiada lagi pilihan saya. Saya mohon maaf kepada mereka.)

PENARIK BECA @ PAK NJANG HALIM

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pengikut