nuffnang

Selasa, 12 April 2011

Khurafat dalam menjalankan ibadah dalam agama ISLAM.

AMALAN BERKABUNG 40 HARI BUKAN AJARAN ISLAM
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com)

Perkara ini perlu diingatkan. Ia bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi banyak negara lain yang ‘berlebihan’ dalam memuja pembesar mereka. Amalan berkabung selama 40 hari dengan pelbagai pantang larang atau pakaian tertentu sempena kematian pembesar negara atau kerabat diraja adalah bercanggah dengan ajaran Islam. Perkara-perkara berikut perlu dijelaskan;

1. Dalam ajaran Islam, yang diwajibkan berkabung hanyalah isteri kematian suami iaitu selama 4 bulan 10 hari. Ini telah ditegaskan oleh al-Quran dan al-Sunnah. Dalam Surah al-Baqarah ayat 234: (maksudnya)
“Dan mereka yang meninggal dunia antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri, hendaklah mereka menangguh (menunggu iddah) selama empat bulan, sepuluh hari..”.
Dalam hadis Nabi s.a.w bersabda:
“Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat untuk berkabung atas kematian melebihi tiga hari, kecuali atas kematian suaminya, iaitu empat bulan sepuluh hari” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Berkabung dengan pantang larangnya mempunyai hikmat dan latar sejarah yang tersendiri. Walaupun asalnya amalan masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam, namun Islam membuang amalan buruk yang ada padanya dan mengekalkan atau menambah nilai-nilai baik yang dapat menjaga dan memelihara nama baik seorang isteri.
berkabung2.jpg
- Gambar Hiasan
2. Hadis Nabi s.a.w:
“Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat untuk berkabung atas kematian melebihi tiga hari, kecuali atas kematian suaminya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
menunjukkan bahawa selain isteri, tidak dibolehkan berkabung melainkan keizinan atau kelonggaran kepada wanita yang kematian keluarga, dengan syarat tidak lebih dari tiga hari. Sebab itu dalam riwayat Zainab binti Abi Salamah, dia berkata,
“Aku masuk menemui Ummu Habibah r.ha iaitu isteri Nabi s.a.w ketika sampainya berita kematian ayahnya Abu Sufyan r.a dari negeri Syam. Pada hari ketiga setelah ayahnya (Abu Sufyan) meninggal, Ummu Habibah meminta minyak wangi lalu mengusapkannya pada kedua sisi wajahnya dan kedua pergelangannya. Beliau berkata: “Demi Allah! Aku sebenarnya tidak berkeinginan terhadap wangian, cumanya kerana aku pernah mendengar Rasulullah s.aw. : “Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat untuk berkabung atas kematian melebihi tiga hari, kecuali atas kematian suaminya, iaitu empat bulan sepuluh hari”.
3. Telah wafat Rasulullah s.a.w sedangkan para sahabah baginda yang amat mengasihi baginda tidak melakukan amalan berkabung. Telah wafat para khalifah yang sangat mulia; Abu Bakr, Umar, Uthman, ‘Ali dan seluruh para sahabah Nabi s.a.w yang mulia, umat Islam tidak pernah membuat amalan berkabung! Telah meninggal ‘Umar bin ‘Abd al-Aziz khalifah yang agung, umat Islam tidak berkabung. Padahal mereka lebih layak untuk ditangisi dan berkabung –jika diizinkan.
Generasi mereka lebih faham dan menghayati Islam dibandingkan kita. Telah meninggal ramai ulama yang sangat besar dan berjasa seperti para tabi’in, para imam hadis dan fekah, tidak pula umat Islam berkabung. Apakah ada sesiapa yang lebih mulia dari mereka semua untuk kita berkabung?!
4. Maka amalan berkabung sempena kematian pembesar atau kerabat istana bukanlah dari ajaran Islam. Bahkan menyanggahi apa yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. Mereka yang meninggal pada hari ini tidak lebih mulia dari insan-insan soleh bermula Rasulullah s.a.w dan selepas baginda. Jika kematian mereka pun umat tidak berkabung kerana mematuhi arahan Rasulullah s.a.w, apakah kita merasai pembesar dan kerabat yang meninggal pada zaman ini lebih mulia dari mereka?! Sama sekali tidak. Kepada Allah kembali segala urusan!

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pengikut